Friday, 23 March 2012
JURNAL MINGGU KE-5
MINGGU KELIMA (27 FEBRUARI – 2 MAC 2012)
DATA
Isnin – Program Minggu Anti Dadah
Pada hari pertama persekolahan untuk minggu ke-5, sekolah telah mengadakan Program Minggu Anti Dadah 2012. Perutusan Pengarah JPNJ telah dibaca oleh Guru Penolong Kanan 1, Puan Foziah binti Norok pada perhimpunan khas Minggu Anti Dadah. Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada murid mengetahui jenis-jenis dadah yang merbahaya dan memberi pendedahan kepada murid-murid kesan, ciri-ciri dan bahaya jika terlibat dengan dadah. Di samping itu, Program Minggu Anti Dadah bertujuan untuk memupuk semangat cintakan diri, keluarga dan negara di kalangan generasi muda.
Sesi P&P pada hari ini tertangguh kerana murid-murid mengikuti ceramah Anti Dadah yang disampaikan oleh Agensi Dadah Pontian. Para penceramah menayangkan video yang menarik minat dan boleh memberi kesedaran kepada murid-murid akan bahayanya dadah dengan memaparkan kisah tragik kesannya merempit, menghisap pelbagai jenis dadah dan kematian disebabkan Aids/ HIV. Tayangan video ini sekurang-kurangnya boleh memberi pengetahuan, pengajaran dan pendedahan dalam diri murid-murid yang masih kecil dan bakal melalui alam remaja yang penuh dengan perasaan ingin mencuba dan mencabar. Murid-murid juga melihat pameran jenis-jenis dadah yang dipamerkan di dewan sekolah untuk membuka minda murid mengenali dadah. Selepas waktu rehat murid Pendidikan Khas dan murid Tahun 1 hingga 3 menyertai pertandingan mewarna poster “Hidup ceria tanpa dadah”. Manakala murid Tahun 4 hingga 6 mengikuti pertandingan melukis poster sempena Minggu Anti Dadah. Pertandingan berlangsung selama 2 jam bermula dari pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Setelah selesai pertandingan lukisan, murid-murid dibenarkan pulang ke rumah. Kemudian hasil lukisan murid-murid ini akan dinilai oleh GPK (1) dan GPK (HEM). Hadiah menarik bakal menanti peserta yang dapat menghasilkan lukisan potret dan mewarna lukisan dengan cantik mengikut kreativiti masing-masing.
Sepanjang aktiviti pertandingan dijalankan, saya begitu bangga melihat kesungguhan murid-murid mewarna dan melukis poster dengan penuh semangat. Saya berharap murid-murid akan sedar bahayanya dadah dalam kehidupan manusia dan sentiasa berwaspada dalam pergaulan dengan rakan sebaya apabila menganjak dewasa kelak. Justeru peranan kerajaan dan pihak sekolah amat penting dalam memberi pendedahan dan pengetahuan kepada murid-murid akan punca yang boleh menyebabkan kebanyakan remaja pada masa kini mudah terjebak dalam kancah penagihan dadah. Antaranya aktiviti merokok yang boleh memberi kesan kepada remaja ingin mencuba menghisap sesuatu benda yang lebih mengkhayalkan seperti ganja, syabu, pil khayal, herion dan sebagainya. Selain itu, sebagai guru yang ingin memastikan anak murid kita berjaya dalam pelajaran, kerjaya dan hidup tanpa terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat dan tidak bermoral, kita perlu sentiasa memberi peringatan dan nasihat agar murid-murid ini pandai memillih kawan yang baik, tidak terlibat dengan aktiviti negatif seperti melepak, merempit, ponteng sekolah, menghisap rokok dan mendengar kata ibu bapa serta menghormati orang yang lebih tua dengan sebaiknya.
Rabu – Pertandingan Boling Pendidikan Khas
Pada hari Rabu, Pejabat Pendidikan Daerah Pontian (Unit Pendidikan Khas) telah menganjurkan Pertandingan Boling Pendidikan Khas Daerah Pontian 2012. Pertandingan boling ini telah dikelolakan oleh SMK. Dato’ Mohd Yunos Sulaiman dan diadakan di Pusat Bowl Harta Pontian. Objektif pertandingan boling ini adalah untuk mencari peserta yang layak untuk mewakili daerah Pontian dalam Pertandingan Boling Pendidikan Khas peringkat Negeri Johor. Di samping itu, pertandingan ini adalah untuk merealisasikan Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M 1S) dan memupuk minat sukan boling dalam diri murid-murid Pendidikan Khas. Secara tidak langsung, pertandingan boling ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan peserta iaitu murid-murid dan guru-guru Pendidikan Khas.
SK Penerok telah menghantar 3 orang peserta untuk menyertai pertandingan boling ini setelah dinilai kemampuan dan kemahiran murid-murid pendidikan khas semasa menjalani latihan terapi boling. Meskipun tidak meraih kemenangan dalam pertandingan boling ini, murid-murid tetap menunjukkan persembahan permainan yang menarik dan mendapat kutipan jatuhan pin yang agak memuaskan. Secara langsung, murid-murid ini mendapat pengetahuan dan pengalaman baru setelah menyertai pertandingan boling ini dan menjadikan permainan boling ini sebagai satu minat dalam aktiviti sukan.
Selasa, Khamis dan Jumaat - Sesi Pengajaran & Pembelajaran
Saya telah memulakan proses P&P seperti biasa mengikut jadual yang diberikan. Murid begitu seronok dengan aktiviti-aktiviti semasa P&P yang telah saya berikan.
Kelas Nilam 1 (Bahasa Melayu)
Bagi matapelajaran Bahasa Melayu murid diperdengarkan lagu “Kereta kecil warna merah” dan menyanyikan lagu tersebut bersama guru. Pada set induksi, guru menggunakan kaedah nyanyian untuk menarik minat murid agar seronok belajar sambil menyanyi. Tambahan pula, saya ingin mengajar murid teknik kemahiran mendengar dengan memberi perhatian kepada bunyi yang didengar dan mengecam bunyi kenderaan/ benda tersebut. Daripada pemerhatian saya, murid-murid begitu gembira semasa P&P di luar bilik darjah. Saya membawa murid ke kawasan letak kereta sekolah yang berhampiran jalan raya utama untuk melihat kenderaan yang lalu lintas dan mendengar bunyi kenderaan tersebut. Murid dapat mengecam bunyi kenderaan dan boleh menamakannya seperti bunyi motosikal, kereta, lori dan ambulans. Secara tidak langsung, teknik belajar dengan pemerhatian dapat membantu murid untuk mudah mengecam, mengingat dan mengenal sesuatu benda dengan betul. Selain itu, saya dapat menarik perhatian murid untuk fokus dalam pembelajaran dan membuka minda murid untuk mengenal kawasan sekitar sekolahnya.
Kelas Nilam 2 (Kemahiran Hidup)
Bagi matapelajaran Kemahiran Hidup saya mengajar tentang aspek kebersihan diri selepas menjalankan aktiviti perkebunan. Namun sesi P&P pada hari Selasa tidak dapat berjalan seperti yang dirancang kerana hanya 2 orang murid yang berada di dalam bilik darjah. Salah seorang murid iaitu Muhammad Naufal sedang menjalani latihan olahraga untuk persediaan pertandingan olahraga peringkat Zon Kukup, manakala Nur Shahirah sedang cuti sakit. Oleh itu, saya mengajar murid-murid yang hadir cara mengecat kolam yang terletak di kawasan kebun dengan teknik yang betul untuk menceriakan kolam ikan pendidikan khas. Murid-murid berasa gembira dapat mengecat dinding kolam ikan bersama dengan guru dan amat berpuas hati melihat keadaan kolam ikan yang semakin ceria.
Pada hari Jumaat, saya mengajar topik amalan kebersihan diri. Meskipun hanya 2 orang murid yang menghadirkan diri iaitu Rahman dan Shahirah, aktiviti P&P diteruskan seperti yang dirancang. Saya menekankan aspek kebersihan diri kepada murid ketika dan selepas aktiviti berkebun. Saya menunjukkan cara penjagaan kebersihan diri ketika berkebun dengan memakai pakaian yang sesuai, memakai kasut but getah, melipat lengan baju, mengguna tuala muka untuk mengelap peluh dan membasuh tangan dengan langkah yang betul. Semasa sesi P&P murid-murid menjalankan aktiviti perkebunan seperti mencabut rumput dan membersihkan kawasan kebun. Selepas selesai melakukan tugasan, murid membersihkan alatan perkebunan dan menyimpan semula alatan di stor dengan kemas. Kemudian, murid melakukan latihan amali membasuh tangan dengan betul mengikut langkah-langkah yang telah ditunjukkan oleh guru. Justeru, murid perlu sentiasa mengamalkan kebersihan diri selepas berkebun demi menjamin kesihatan dalaman dan luaran.
Kelas Nilam 1 & 2 (Pengurusan Diri)
Bagi matapelajaran Pengurusan Diri, saya mengajar nama peralatan yang digunakan untuk minum. Murid-murid telah mengenali beberapa peralatan untuk minum dan pernah menggunakan alatan minum tersebut seperti gelas dan cawan. Pada set induksi, guru mengajukan soalan teka teki iaitu “Saya ada mulut tapi bukan manusia, saya ada satu telinga, cuba teka siapa saya?” adalah untuk mencungkil pengetahuan sedia ada murid-murid. 2 orang murid boleh memberi jawapan yang betul dan jawapannya ialah cawan.
Sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar dengan aktiviti yang menarik seperti menamakan alatan untuk minum, mencari alatan minum yang disebut oleh guru, menyusun alatan minum (benda maujud), memadankan kad gambar alatan minum dengan benda maujud, melukis gambar alatan minum dan soal jawab mengenai peralatan yang digunakan untuk minum. Murid-murid yang dapat menyebut semula nama alatan minum dengan betul diberikan ganjaran air kotak. Pada akhir pembelajaran, murid-murid dapat menguasai topik ini dan boleh menamakan 5 jenis peralatan untuk minum dengan betul, antaranya gelas, cawan, penyedut minuman, piring dan jug air. Walaupun suasana di dalam bilik darjah pada permulaan sesi P&P agak bising, tetapi dapat dikawal dengan baik selepas diberi teguran oleh guru. Murid-murid juga gembira semasa menjalani sesi amali mengenal alatan minum dalam bentuk maujud di dapur pendidikan khas dan memberikan kerjasama yang baik dalam kumpulan.
Lain-lain aktiviti
Pada hari Sabtu, murid-murid juga menghadirkan diri ke sekolah kerana cuti sekolah ganti sempena Tahun Baru Cina yang lepas mengikut jadual hari Jumaat 27 Januari 2012. Guru Pendidikan Khas telah mengadakan latihan balapan dan padang pada waktu pagi sebagai persediaan untuk murid menghadapi Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Daerah Pontian pada minggu hadapan yang akan diadakan di padang Sek. Keb. Benut. Kemudian murid-murid meneruskan aktiviti P&P seperti biasa.
ANALISIS MASALAH
Masalah yang dikenalpasti semasa sesi pengajaran dan pembelajaran adalah murid-murid ini tidak menampakkan kesediaan untuk menerima ilmu ketika sesi P&P ini bermula. Kebanyakkan dari mereka mempunyai sikap sambil lewa dan tidak menghormati guru sewaktu melangkah masuk ke dalam bilik darjah. Mereka masih bermain-main dan membuat bising di dalam kelas. Punca utama yang mungkin menyebabkan murid-murid bersikap demikian ialah sikap suka bermain dan mengganggu / mengusik rakan yang menjadikan keadaan kelas bising serta menyebabkan mereka keletihan hingga hilang fokus semasa sesi P&P. Selain itu, saya beranggapan bahawa sikap yang ditunjukkan oleh murid-murid ini berpunca daripada kurang kesedaran terhadap pentingnya masa yang diperuntukkan semasa berada di sekolah.
CADANGAN
1) Memulakan proses pembelajaran dengan membawa set induksi yang menarik dan pelbagai.
2) Menampilkan diri sebagai seorang guru yang kemas, mempunyai penampilan yang tegas semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
3) Sentiasa mengubah corak dan suasana pengajaran dan pembelajaran.
4) Memberi sedikit amaran kepada murid yang tidak menumpukan perhatian kepada sesi pengajaran dan pembelajaran.
5) Mempelbagaikan aktiviti di dalam bilik darjah.
TINDAKAN SUSULAN
Bagi menangani masalah ini, guru menggunakan strategi main sambil belajar. Menurut Ee Ah Meng (1997), main sambil belajar adalah aktiviti yang dijalankan secara spontan yang membawa kepada pembelajaran yang menarik. Ini kerana permainan merupakan ekspresi kendiri yang kreatif dan perkembangannya paling jelas pada peringkat kanak-kanak. Kanak-kanak akan mencari pengetahuan dengan kaedah permainan.
Antara jenis-jenis permainan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah manipulatif dan permainan bahasa. Permainan manipulatif termasuklah teka-teki, jadual bernombor, domino dan catur. Permainan bahasa pula melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa yang mengandungi unsur bermain dengan menggunakan bahan-bahan dan daya kreativiti murid untuk mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan dan bermakna. Kebaikan teknik ini ialah merangsangkan motivasi belajar kesan daripada keseronokkan bermain dan ia juga dapat mengembangkan daya imaginasi untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas menyelesaikan masalah semasa belajar.
KESIMPULAN
Setiap masalah yang timbul pasti ada jalan penyelesaiannya. Saya sentiasa mencari idea untuk meningkatkan minat murid-murid agar sentiasa bersedia mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran. Teknik-teknik yang dipelajari secara teori saya cuba mengaplikasikannya di sekolah. Ternyata, murid-murid ini mula menunjukkan sedikit minat untuk mengetahui apa yang akan diajar pada hari tersebut dan bersungguh-sungguh bertanyakan soalan. Di samping itu, guru harus mempunyai ketegasan dan pendirian yang teguh di dalam bilik darjah supaya murid lebih menghormati guru, Dalam konteks ini, sikap menghormati guru perlu ada dalam diri seorang murid.
PROGRAM MINGGU ANTI DADAH
Perhimpunan pagi Isnin di dewan J-Qaf sempena Program Minggu Anti Dadah
Pn. Foziah binti Norok (GPK 1) membaca perutusan Pengarah JPNJ
Ketua pengawas mengetuai bacaan ikrar sempena Minggu Anti Dadah
Murid-murid membaca ikrar sempena Minggu Anti Dadah
Murid-murid mengikuti ceramah Anti Dadah di dewan sekolah
Ceramah disampaikan oleh Pegawai Agensi Anti Dadah
Penceramah memaparkan slide power point remeja yang melakukan aktiviti merbahayakan
Murid-murid khusyuk mendengar ceramah dan menonton slide power point
Contoh jenis-jenis dadah
Pameran jenis-jenis dadah untuk membuka minda murid tentang dadah
Murid melihat jenis dadah dari jarak dekat
Guru dan murid bergambar bersama
Murid-murid mendengar Cikgu Saiful memberi taklimat ringkas tentang
peraturan pertandingan mewarna dan melukis poster
Majlis penyampaian hadiah kepada penceramah
Thursday, 8 March 2012
Pengasas Sekolah
SK Penerok : Gambar terkini
Pengasas Sekolah
SEKOLAH MELAYU KAMPONG PENEROK, PONTIAN, JOHOR
Didirikan dan dibangunkan pada awal tahun 1946. sekolah ini didirikan di atas sebuah tapak tanah yang kecil. Bangunan ini dibuat daripada kayu,pelepah sagu dan atap rumbia. Dengan pakatan dan gotong-royong penduduk kampung, terbinalah sebuah sekolah yang kecil, yang boleh menampung kira-kira 25 orang murid, iaitu dari Darjah Satu hingga Darjah Dua.
Encik Abu Bakar bin Syawal,Tok Penghulu Mukim Ayer Masin pada masa itu bersama-sama Tuan Haji Jailani bin Haji Maarof adalah pengasas Sekolah Melayu Kampong Penerok,Pontian,Johor.
Di atas usaha gigih kedua-dua anak watan Kampong Penerok ini, maka ia menjadi kemudahan asas kepeda anak-anak Kampong Penerok bersekolah pada masa itu. Sebelum ini anak-anak Kampong Penerok bersekolah di Sekolah Melayu Telok Kerang yang jauhnya kira-kira 3 batu.
Kegigihan dan usaha jaya yang telah disumbangkan oleh kedua-dua anak watan ini akan menjadi kenangan sejarah buat selama-lamanya.
Jasamu Tetap Dikenang Hingga Ke Anak Cucu Pada Masa Akan Datang
Sumber : Weblog SK Penerok
Sejarah Ringkas SK Penerok, Pontian
SEJARAH RINGKAS
SK PENEROK,
PONTIAN, JOHOR.
SK Penerok yang pertama
dibangunkan pada tahun 1946, oleh penduduk Kampung Penerok secara
bergotong-royong dengan menggunakan atap rumbia. Bangunan ini telah dirasmikan
oleh YM Engku Ismail Bin Dato’Abdul Rahman, Pegawai Daerah Pontian. Pada
Tahun1955 telah dibangunkan pula sekolah kedua yang dibiayai oleh kerajaan bagi
menempatkan murid-murid darjah 1 hingga darjah 6.
Pada bulan April 1989,
Kementerian Pendidikan Malaysia telah membina bangunan tambahan dua tingkat
yang ada sekarang ini dengan perbelanjaan RM500,000.00. Bangunan ini digunakan
sepenuhnya pada bulan Mei 1990. Kemudahan-kemudahan asas bangunan ini adalah
bilik darjah, bilik sembahyang, bilik perpustakaan, pusat sumber, pejabat,
tandas guru dan murid serta kantin sekolah. Bangunan ini dirasmikan oleh YB
Dato’ Dr. Sulaiman Daud pada hari Sabtu 4 Mei 1991.
Pada Tahun 2000 pula, sekolah
mendapat peruntukan kerajaan untuk pembinaan bangunan tambahan bagi
menggantikan bangunan yang lama. Bangunan ini menyediakan kemudahan-kemudahan
bilik darjah, pusat sumber,
perpustakaan, bilik tayang, bilik muzik, bilik komputer, bilik guru,
bilik mesyuarat, bilik sains, bilik kemahiran hidup, stor dan tandas guru serta
murid. Bangunan tambahan tiga tingkat ini layak digunakan sepenuhnya pada bulan
Mac 2003. Di samping itu, pada penggal kedua 2003, sebuah bilik darjah bangunan
Blok A telah diubah suai bagi menempatkan murid-murid prasekolah pada tahun
2004. Sebuah taman permainan khusus untuk murid-murid prasekolah juga telah
disediakan.
Pada Tahun 2004 pula, bilik komputer
yang sedia ada telah diubah suai menjadi bilik makmalkomputer dan seterusnya
dibekalkan dengan 14 unit komputer untuk kegunaan guru dan murid bagi
melaksanakan program ICT diperingkat sekolah.
Pada tahun 2007, bilik pejabat lama di Blok A diubah suai menjadi
bilik Acces komputer dan dibekalkan dengan 10 unit komputer. Pada Tahun 2008 pula, Bilik guru lama
dan bilik darjah di Blok A, diubah suai menjadi Kelas Pendidikan Khas
Integrasi, Bilik j-QAF dan Bilik
Pemulihan Khas.
Subscribe to:
Posts (Atom)