MINGGU PERTAMA (30 JANUARI – 3 FEBRUARI 2012)
DATA
Pada hari pertama saya telah menerima jadual praktikum. Saya telah diminta untuk mengajar subjek Bahasa Melayu, Matematik dan Kemahiran Hidup (Perkebunan & Penternakan). Saya mengajar murid-murid Kelas Nilam 1 bagi matapelajaran Bahasa Melayu dan Matematik. Manakala, matapelajaran Kemahiran Hidup bagi murid-murid Kelas Nilam 2. Saya menggunakan sukatan pelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk Bahasa Melayu dan Matematik. Murid-murid ini telah menjalani Ujian Literasi dan Numerasi (LINUS), dan keputusan ujian menunjukkan murid-murid ini dalam kumpulan LINUS tegar. Saya juga telah mengadakan ujian lisan dengan menunjukkan kad huruf dan suku kata serta gambar dan meminta murid menyebutnya. Namun murid-murid hanya boleh menyebut huruf-huruf tertentu sahaja dan tidak boleh membunyikan suku kata.
Perkara yang mencabar adalah apabila saya perlu mengatasi masalah tingkah laku murid yang suka mengusik murid yang lain dan akhirnya menyebabkan keadaan kelam kabut dan mengganggu P&P. Semasa menjalani ujian yang kedua pada hari Selasa, seorang murid telah berlari keluar kelas kerana merajuk setelah diganggu oleh rakannya. Saya berasa terkejut namun saya berusaha untuk memujuk murid itu dan akhirnya murid itu mahu mengikut saya masuk ke dalam kelas.
Perkara yang menarik perhatian saya, apabila murid pendidikan khas mampu membaca doa semasa setiap kali memulakan pembelajaran. Mereka begitu yakin membaca doa serta membacanya dengan lantang sekali. Selain itu, terdapat seorang murid baru yang memasuki kelas Pendidikan Khas Nilam 2 (Konseptual) bernama Niesha binti Effendi.
Saya ada membuat perbincangan bersama penyelaras kelas Pendidikan Khas iaitu Pn. Nortifazilah binti Hj. Jasman mengenai jadual praktikum dan projek praktikum saya. Disebabkan hanya kami berdua guru pendidikan khas untuk 2 buah kelas, saya terpaksa memasuki kelas sehingga habis waktu persekolahan. Walaupun tiada waktu rehat, InsyaAllah saya dapat memikul tanggungjawab ini dengan sebaiknya.
Pada hari Rabu, saya bersama guru pembimbing dan pembantu pengurusan murid telah membawa murid-murid pendidikan khas ke Pusat Boling di Plaza Harta Pontian untuk menjalani aktiviti terapi boling. Terapi ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada murid-murid tentang teknik permainan boling dan cara berinteraksi dalam permainan. Di samping itu, kami ingin mencungkil bakat murid yang berkebolehan dan boleh diketengahkan untuk memasuki pertandingan boling peringkat daerah Pontian bagi sekolah-sekolah Pendidikan Khas.
PERHUBUNGKAITAN DAN PERASAAN
Saya dapati melalui ujian Bahasa Melayu, murid masih lemah dalam menyebut huruf A hingga Z disebabkan belum dapat menguasai abjad sepenuhnya. Sementara itu bagi ujian Matematik, 2 orang murid belum dapat mengenal bentuk asas dan nombor namun boleh mengecam warna. Manakala seorang lagi murid belum menguasai kedua-duanya iaitu mengenal warna dan bentuk asas. Melalui ujian tersebut, saya akan cuba mengajar mengikut tahap pencapaian murid. Latihan yang perlu saya berikan adalah lebih kepada bentuk permainan dan mempunyai gambar.
Masalah kawalan murid di kelas pula, saya perlu menggunakan penggunaan token bagi menggurangkan murid yang suka mengganggu serta menggelakkan murid yang cepat merajuk. Namun begitu, saya perlu menyelitkan pemberian pujian serta ganjaran atau hadiah kerana mereka suka dipuji dan diberikan hadiah selepas memenangi sesuatu aktiviti permainan atau teka-teki.
Saya perlu menggunakan komputer riba sebagai bahan bantu belajar untuk menayangkan video dan slide power point secara terus kepada murid disebabkan tiada LCD projektor di dalam kelas. Walaupun agak menyukarkan kepada murid untuk menonton namun itu tidak mengganggu proses P&P malah mengeratkan hubungan baik di kalangan murid.
MEMBUAT INTERPRETASI
Saya mempelajari satu nilai di sepanjang minggu ini, bahawa dalam mendidik murid-murid Pendidikan Khas saya memerlukan teknik dan strategi yang berbeza iaitu lebih kepada permainan, teka-teki, mewarna dan nyanyian.
Begitu juga teknik kawalan kelas, guru seperti saya perlu menggunakan pelbagai pendekatan seperti amaran, teguran dan dendaan supaya displin murid terkawal dan proses P&P dapat berjalan dengan lancar.
KEPUTUSAN
Pada pelajaran akan datang, saya akan mengambil kira tindakan :
v Mengawal murid yang menjadi punca gangguan di dalam kelas iaitu memberi amaran token akan di tarik sekiranya mengusik rakan yang lain.
v Saya perlu mengingatkan murid yang cepat merajuk supaya dia akan diberikan token sekiranya tidak melayan usikan kawannya dan tidak menangis.
v Memberikan pemberian berbentuk pujian dan hadiah pada kelakuan yang baik serta latihan yang dapat dibuat dengan baik.
Saya amat berharap agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan baik dengan pelaksanaan tindakan di atas. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment