Sunday, 12 February 2012

JURNAL MINGGU KE-2

MINGGU KEDUA (6 – 10 FEBRUARI 2012)


DATA
Pada minggu kedua, sesi persekolahan bermula pada hari Rabu disebabkan cuti umum sempena Maulidurasul dan Thaipusam. Saya telah memulakan proses P&P seperti biasa mengikut jadual yang diberikan. Murid begitu seronok dengan aktiviti-aktiviti semasa P&P yang telah saya berikan.
Kelas Nilam 1 (Bahasa Melayu & Matematik)
Bagi matapelajaran Bahasa Melayu murid diberi kad puzzle gambar abjad dan diminta mencantumkan huruf A hingga Z dengan betul. Bagi matapelajaran Matematik pula, murid diminta mencari objek maujud di dalam bilik darjah yang bersaiz besar dan kecil. Antara objek yang dapat dicari adalah bola, buku, kotak pensel dan meja. Kemudian murid dikehendaki menyebut nama objek tersebut dan membezakan saiznya. Murid yang berjaya menamakan dan mengasingkan objek tersebut mengikut kumpulan saiz besar dan saiz kecil akan diberikan token sebagai ganjaran. Murid begitu teruja dengan aktiviti ini.   
Kelas Nilam 2 (Kemahiran Hidup)
Bagi matapelajaran Kemahiran Hidup saya mengajar tentang aspek keselamatan diri, rakan, alatan dan bahan semasa menjalankan aktiviti perkebunan. Amalan keselamatan di kebun adalah faktor penting yang perlu diutamakan. Murid perlu diberi pendedahan dan pengetahuan cara menjaga keselamatan bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak dijangka yang boleh membahayakan keselamatan diri dan rakan. Semasa P&P, murid juga melakukan latihan amali cara menggunakan peralatan perkebunan yang mengutamakan keselamatan diri seperti memakai kasut but, sarung tangan, pakaian yang sesuai ketika hendak meracun atau membaja dan mempelajari langkah-langkah penggunaan setiap alatan perkebunan. Justeru, murid perlu memahami dan mematuhi semua peraturan keselamatan yang telah digariskan semasa berada di kawasan kebun sebagai suatu amalan.
Lain-lain aktiviti
Saya telah memulakan projek keceriaan bilik darjah dengan menampal kertas dinding bercorak bunga dan menampal carta bergambar serta nama abjad pada papan kenyataan di sudut P&P.
Pada hari Sabtu, murid-murid juga menghadirkan diri ke sekolah kerana cuti sekolah ganti sempena Tahun Baru Cina yang lepas mengikut jadual hari Khamis. Namun P&P tertangguh pada hari itu kerana GPK Kokurikulum telah mengadakan latihan Olahraga untuk pemilihan atlet sukan bagi wakil sekolah. Buat pertama kalinya saya membuat latihan Olahraga iaitu perlu membuat saringan murid bagi acara lompat tinggi dan lompat jauh yang diadakan di padang sekolah SK Penerok. Secara tidak langsung, saya mendapat pengetahuan dan pengalaman baru dalam acara Olahraga ini.

PERHUBUNGKAITAN DAN PERASAAN
Saya dapati saya perlu membuat perancangan yang teliti supaya projek keceriaan bilik darjah dapat berjalan dengan baik. Saya berasa gembira kerana telah diberikan peluang untuk membuat projek yang semestinya saya harapkan semasa menjalani sesi praktikum di sekolah tersebut.
Semasa proses P&P dijalankan, saya berharap agar saya dapat menekankan aspek keselamatan dan mendapat kerjasama yang padu daripada murid saya. Di samping itu, pada minggu ini saya dapat mengatasi masalah kawalan murid di kelas dengan menggunakan sistem token ekonomi. Murid yang berjaya menjawab soalan dan memenangi sesuatu aktiviti permainan diberikan token dan mendapat pujian daripada guru. Bagi murid yang berjaya mengumpul token yang banyak akan mendapat hadiah. Namun, token ini boleh di tarik semula sekiranya murid mengganggu rakan atau melanggar peraturan bilik darjah. Ini bertujuan untuk membentuk sahsiah diri pelajar agar lebih berdisplin.  

MEMBUAT INTERPRETASI
Saya mempelajari satu nilai di sepanjang minggu ini, bahawa murid-murid Pendidikan Khas perlu dikawal pada setiap masa terutama dari aspek keselamatan diri supaya perkara yang tidak diingini tidak berlaku.
Saya juga perlu membuat perbincangan dan kajian yang teliti supaya proses P&P bermula daripada set induksi hingga penutup dapat menarik perhatian seterusnya proses P&P berjalan dengan lancar. Saya juga menjalankan Rancangan Pendidikan Individu di samping menjalankan sesi P&P.
Begitu juga bagi teknik kawalan kelas, saya masih perlu mengkaji sikap murid yang bermasalah serta perlu mempelbagaikan pendekatan terutamanya teknik shaping dan penggunaan token.

KEPUTUSAN
Pada pelajaran akan datang, saya akan mengambil kira tindakan :
v  Menjaga keselamatan murid serta mengingatkan murid supaya sentiasa berhati-hati pada sepanjang masa.
v    Memberikan nasihat dan pujian bagi membentuk tingkah laku yang diingini terutamanya kepada murid yang bermasalah.
Saya amat berharap agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan baik dengan pelaksanaan tindakan di atas. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment